Ini merupakan berita baik untuk kita semua sebagai pengguna motosikal dan kereta. Siapa tidak mahu jika ada pilihan petrol yang lebih berkuasa, menjimatkan dan menjadikan pemanduan lebih lancar. Menurut laporan Star Motoring hari ini, kelmarin pihak media telah dijemput khas oleh Petronas Dagangan Berhad untuk sesi penerangan dan ujian minyak petrol terbaru yang bakal dilancarkan bulan depan.
Menurut Pengurus Besar Kanan untuk Bahagian Perniagaan Runcit, Petronas Dagangan Bhd. (PDB) Izuddin Husaini Mohd Yusoff, minyak petrol baru itu dihasilkan melalui penyelidikan selama dua tahun menggunakan pengalaman syarikat di dalam penglibatan sukan Formula 1. Menurut beliau yang masih belum mendedahkan jenis RON dan harga petrol misteri itu, produk baru itu sesuai untuk semua jenis kenderaan di Malaysia.
Sebagai langkah pengenalan, pihak Petronas telah memberi kesempatan kepada wakil-wakil media yang hadir sesi taklimat dan ujian tersebut untuk menguji sendiri keberkesanan minyak petrol terbaru itu. Selain itu seramai 50 pemandu telah dipilih untuk menguji minyak yang sama dengan jarak keseluruhan meliputi 25,000km. Lebih kurang 90 % mereka yang mengambil bahagian dalam ujian tersebut berkongsi pengalaman bahawa kereta mereka menjadi lebih berkuasa dan enjin bergerak lebih lancar.
Untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan minyak petrol terbaru itu, kita perlu menunggu sehingga hari pelancaran rasmi pada bulan depan. Ianya akan boleh didapati di semua 955 stesen servis Petronas di seluruh negara.
p/s : Menarik, harap minyak petrol terbaru itu akan lebih jimat berbanding petrol RON95, juga lebih berkuasa dan melancarkan pergerakan enjin. Tetapi yang saya agak musykil di sini ialah harganya tak mungkin akan sama seperti RON95. Kalau penggunaannya menjimatkan tetapi harga mahal, maknanya pi mai pi mai tang tu juga.
No comments:
Post a Comment