.
Perodua Myvi 2011 baharu akan dilancarkan esok dan kita semua bakal melihat model kompak itu dengan lebih dekat di semua bilik pameran Perodua di seluruh negara. Seperti yang dijanjikan, di sini saya paparkan brochure Perodua Myvi baharu bagi memberikan gambaran pertama (first impression) terhadap model tersebut.
Terdapat beberapa perbezaan di antara varian Standard, Premium dan Elegance. Kesemua varian dilengkapi beg udara berkembar untuk pemandu dan penumpang depan, namun varian Standard tidak dilengkapi ABS, EBD dan BA seperti mana yang terdapat pada varian Premium dan Elegance. Varian Elegance dengan harga mencecahRM57,908.00 mendapat spesifikasi paling lengkap, antaranya tambahan kit badan penuh, panel skrin sesentuh 6 inci dengan sistem GPS dan kusyen kulit.
Varian Standard yang berharga maksimum RM47,926.00 tidak dilengkapi rim aloi, sebaliknya menggunakan rim besi yang ditutup menggunakan penutup plastik (wheel cap). Berbanding spesifikasi di bahagian eksterior dan interior, Perodua Myvi baharu masih menggunakan enjin lama K3-VE, DOHC 16 Valve dengan DVVT bersesaran 1.3 liter. Versi 1.5 liter yang akan dilancarkan hujung tahun ini menggunakan enjin sama yang kini dimiliki MPV Perodua Alza.
Penggunaan enjin lama bagi saya agak mengecewakan kerana ianya kurang menepati tema ‘Myvi baharu’ seperti mana Daihatsu Boon 2010 yang menggunakan enjin 1.3 liter 4-silinder 1NR-FE terbaru yang lebih maju, bukan saja lebih berkuasa malah lebih efisien berbanding enjin lama. Tidak dapat dipastikan kenapa Perodua Myvi 2011 baharu tidak menggunakan enjin 1NR-FE sedangkan harganya ketika ini meningkat kepada tahap premium berbanding Myvi generasi pertama.
p/s : Sila klik gambar yang dipaparkan untuk melihat saiz yang lebih besar.
Credir: Arena Kereta
No comments:
Post a Comment